Friday, December 28, 2007

ada apa dengan Anwar?

Mengikut kata DAP, jika PETRONAS mengagihkan keuntungannya pada tahun ini sebanyak RM58.03 billion setiap rakyat Malaysia akan mendapat RM1,000 setiap seorang dan PETRONAS masih lagi mempunyai lebihan sebanyak RM10 billion untuk membiayai operasinya.
Tambah menarik, menurut DAP, mereka yang berpendapatan lebih dari RM80,000 setahun tidak layak menerima durian runtuh ini.

Bukan DAP seorang sahaja yang membuat tuntutan ini. PAS dan Keadilan juga mempunyai cadangan masing-masing.

Naib Presiden PAS, Husam Musa berkata dalam satu kenyataan meminta Kerajaan mengenakan cukai kepada PETRONAS untuk membiayai subsidi minyak.

"Ternyata sekali, Petronas mendapat keuntungan besar hasil kenaikan harga minyak dunia. Mengapakah keuntungan ini tidak dapat disalurkan bagi faedah ekonomi dan rakyat?" katanya.

Menurut Husam lagi, khazanah minyak dan gas cukup untuk mengapungkan kedudukan ekonomi negara kerana apabila harga naik, pendapatan turut meningkat.

Pada tahun ini PETRONAS telah membayar sebanyak RM31 billion kepada kerajaan satu peningkatan sebanyak 47% atau RM10 berbanding tahun sebelumnya.

"Kita juga tidak boleh bandingkan kedudukan harga minyak negara ini dengan negara serantau seperti Indonesia dan Thailand. Ini kerana purata pengeluaran minyak berbanding penduduk, kedudukan kita adalah jauh lebih besar," kata Husam lagi.

Harga minyak petrol di Malaysia adalah RM1.62 seliter berbanding RM2.29 seliter di Thailand dan RM1.70 seliter di Indonesia. Harga diesel di Malaysia pula adalah RM1.28 seliter berbanding RM1.82 seliter di Thailand dan RM0.80 di Indonesia.

Mantan Timbalan Perdana Menteri, yang kini merupakan Professor Jemputan di John Hopkins Universiti nampaknya tidak ketinggalan menyertai tuntutan ini.

Menurut agensi berita Peranchis, AFP, Saudara Anwar Ibrahim menyokong tuntutan DAP ini dan menyarankan agar wang dari PETRONAS ini digunakan untuk membasmi kemiskinan di kalangan orang Cina, Melayu dan India.

Sokongan Anwar sedikit sebanyak memberi kredibiliti kepada perjuangan DAP ini.
Manakan tidak, Anwar merupakan bekas Menteri Kewangan.
Beliau tahu susur galur perjalanan kewangan negara terutamanya melibatkan PETRONAS yang merupakan syarikat yang terkaya di Malaysia.

Rekod Anwar sepanjang menjawat jawatan nombor satu di Perbendaharaan Malaysia cukup cemerlang.

Di bawah Anwar, ekonomi Malaysia mencatatkan pertumbuhan 8% setahun selama 8 tahun berturut-turut, pertumbuhan ekonomi paling cemerlang sejak Merdeka.

Rekod cemerlang Anwar membolehkan dia dinobatkan sebagai Finance Minister of the Year pada tahun 1996 oleh Euromoney.
Malaysia juga telah diiktiraf sebagai salah satu East Asian Miracle oleh Bank Dunia pada tahun 1993.

Tetapi sejak disingkirkan oleh Dr Mahathir pada tahun 1998, Anwar mula mempersoalkan beberapa polisi kerajaan terutamanya yang berkaitan dengan PETRONAS.

Pembelian MISC pada harga RM2 billion dipersoalkan.
Begitu juga dengan pembinaan Putrajaya yang melibatkan wang sebanyak RM30 billion.

Mungkin beliau terlupa agaknya bahawa beliaulah yang membentangkan Rang Undang-Undang Perbadanan Putrajaya di Parlimen pada tahun 1995 dulu.

Bukannya Anwar tidak tahu sudah terlalu banyak subsidi diberi oleh Kerajaan.

Menurut Dato’ Mustapa Mohamed, subsidi minyak pada tahun ini berjumlah RM6.6 billion. Jumlah ini jauh lebih tinggi berbanding purata RM1.2 billion setahun yang dibelanjakan sepanjang dekad 90an semasa Anwar menjadi Menteri Kewangan.

Subsidi gas pula sebanyak RM6 billion. Subsidi kesihatan pula berjumlah RM6.9 billion.

Subsidi harga padi sebanyak RM448 juta sementara subsidi baja sebanyak RM170 juta.

Kementerian Pelajaran pula tahun lalu membelanjakan lebih kurang RM1.3 bilion untuk membantu murid miskin melalui Skim Buku Teks, bantuan makanan di bawah Rancangan Makanan Tambahan bagi murid miskin di luar bandar, Program Susu Sekolah, bantuan one-off kepada murid sekolah rendah untuk membeli pakaian seragam dan peralatan sekolah, Skim Baucar Tuisyen untuk mata pelajaran Bahasa Melayu, Bahasa Inggeris, Sains dan Matematik dan lain-lain program lagi.

Setiap seorang pelajar perubatan di Universiti Tempatan diberi subsidi RM60,000 sepanjang pengajian mereka.

Cuma angka yang dibelanjakan untuk subsidi beruk tidak diberitahu oleh Tok Pa.

Mungkin subsidi ini telah diberhentikan kerana Menteri yang memulakan program ini telah pun pencen lama dahulu.

Sebagai seorang tokoh yang berpengaruh di Barat pada ketika ini, Anwar sepatutnya tidak terlalu cepat menyokong "old style of politics" (meminjam kata-kata Saudara Khairy Jamaluddin) yang dibawa oleh DAP ini.

Sepatutnya, pengalaman yang beliau timba di United Kingdom dan Amerika Syarikat selama setahun ini digunakan untuk memberi cadangan yang lebih bernas.

Takkan beliau tidak menyedari harga minyak di UK adalah RM6 seliter. Tetapi mengapakah rakyat UK tidak mengeluh, membantah dan mengadakan demonstrasi jalanan tentang kenaikan harga ini?

Sepatutnya Anwar sebagai bekas Menteri Kewangan dan "Senior Associate" di St Anthony College, Oxford, mencadangkan "windfall tax" dikenakan kepada "rent seekers" yang telah mendapat banyak manfaat dari dasar-dasar kerajaan selama ini.

Rakan baik beliau - Gordon Brown, Menteri Kewangan Britain semasa mula memegang tampuk kuasa pada tahun 1997 dahulu telah mengenakan "windafall tax" kepada syarikat-syarikat besar di UK.

Hasilnya beliau gunakan untuk memperbaiki sistem National Health Service, pengangkutan awam serta sekolah.

Anwar yang pernah pada satu ketika dulu dipuji oleh wartawan-wartawan Barat kerana melakukan "fiscal sorcery" (kerana menurunkan cukai, menambahkan perbelanjaan Kerajaan tetapi berjaya mengimbangkan bajet) sepatutnya mencadangkan kepada kerajaan supaya mengenakan "windfall tax" kepada Raja-Raja AP serta pemilik-pemilik Independent Power Producers (IPP) dan bukannya menghukum PETRONAS yang telah menyumbang sebanyak RM31 billion kepada Kerajaan pada tahun ini.

Rasionalnya mudah sahaja, Raja-Raja AP mendapat AP secara percuma dari Kerajaan.

IPP yang mula muncul semasa beliau memegang jawatan Menteri Kewangan pula mendapat gas subsidi pada harga 300 kali lagi murah dari harga pasaran dan menjual elektrik pada kadar mahal pula kepada TNB.

IPP tidak perlu bergantung kepada subsidi kerana kebanyakan IPP pula ini dikuasai oleh orang-orang yang terkaya di Malaysia, antaranya Tan Sri Lim Goh Tong, Tan Sri Yeoh Tiong Lay, Tan Sri Syed Mokhtar Al-Bukhary and Ananda Krishnan.

Tahun ini MITI mengeluarkan 67,000 AP. Jika kerajaan mengenakan "windfall tax" sebanyak RM25,000 kepada setiap AP yang dikeluarkan sepanjang tahun ini maka hasil tambahan kepada Kerajaan adalah sebanyak RM1.7 billion.

Di Malaysia terdapat 23 buah IPP. Jika Kerajaan mengenakan RM50 juta "windfall tax" kepada setiap IPP maka jumlah hasil kepada Kerajaan adalah RM1.2 billion.

Anwar juga sepatutnya mendesak Kerajaan menghapuskan cukai jalan untuk lori-lori. Setiap kali diesel naik, pemilik syarikat lori akan menaikkan harga perkhidmatan sekaligus menyebabkan harga-harga barang naik.
Cukai jalan untuk lori 36 tan di Malaysia adalah sebanyak RM6,865 setahun - antara yang tertinggi di Asia Tenggara. Di Singapura jumlahnya adalah sebanyak RM5,396 setahun dan RM730 setahun di Thailand. Dengan terhapusnya cukai jalan ini maka pengusaha-pengusaha lori tidak mempunya alasan untuk menaikkan caj perkhidmatan setiap kali harga diesel naik.

Jika beliau ingin lebih popular, beliau boleh mendesak Kerajaan mengenakan kadar "sin tax" yang lebih tinggi untuk syarikat-syarikat rokok, arak, empat nombor ekor, lumba kuda dan kasino. Wang dari "sin tax" ini boleh digunakan untuk menampung subsidi minyak negara.

Pepatah Cina ada mengatakan, pohon yang tinggi merupakan pokok pertama yang akan ditebang.

PETRONAS, sebagai khazanah negara boleh kita umpamakan sebagai pohon yang tinggi. Ia adalah syarikat Melayu yang paling berjaya sejak Empayar Kesultanan Melayu Melaka.

Dan Anwar sebagai tokoh bertaraf antarabangsa tidak sepatutnya membiarkan dirinya dipergunakan oleh DAP dalam percaturan politik kolot mereka.

Apa gunanya, jika menang sorak tetapi kampung tergadai?

(The article was written in 2005)