Friday, April 04, 2008

ada apa dengan calon Setiausaha Agung PBB?

Ronin Cyber Dec 28, 05, 05 3:59pm


Setiausaha Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) Kofi Annan bakal bersara pada 31 Disember 2006.

Maka mulai dari 1 Januari 2007, dunia akan mendapat seorang Setiausaha Agung PBB yang baru.Kalau mengikut tradisi, jawatan Setiausaha Agong PBB diisi secara bergilir-gilir dari kalangan wakil dari Benua Asia, Afrika, Eropah dan Amerika Selatan.

Dengan pencennya Kofi Annan kini tiba pula giliran Asia untuk menempatkan wakilnya ke jawatan yang berpengaruh ini setelah hampir dua dekad dibolot oleh individu dari benua Afrika dan Amerika Selatan.

Thailand nampaknya telah awal-awal lagi melobi calonya yakni Timbalan Perdana Menterinya Dr Surakiart Sathirathai untuk menjawat jawatan ini.

Ketika ditanya pemberita beberapa bulan lepas, Menteri Luar Malaysia Datuk Syed Hamid Albar berkata Malaysia akan menyokong pencalonan Dr Surakiart.

Tetapi itu dulu. Hubungan Malaysia-Thailand yang semakin tegang akhir-akhir ini mungkin mengundang persoalan samada Malaysia patut meneruskan hasratnya menyokong calon dari Thailand ini.

Mengambilikira suasana politik semasa mungkin lebih elok sekiranya Malaysia menarik balik sahaja sokongannya kepada Thailand. Lagipun Malaysia tidak berapa lama dahulu Malaysia telah pun menyokong calon Thailand sebagai orang nombor satu di World Trade Organisation.

Mungkin kini giliran Malaysia pula untuk disokong oleh Thailand.Sebagai ganti adalah lebih molek sekiranya Malaysia mencalonkan wakilnya sendiri sebagai Setiausaha Agong PBB yang baru.

Yang menjadi persoalan adakah Malaysia mempunyai tokoh yang benar-benar berwibawa untuk menyandang jawatan yang kedua berprestij di dunia ini selepas Presiden Amerika Syarikat?

Kalau Dr Mahathir masih muda mungkin Malaysia boleh mencalonkannya. Tetapi beliau sudah pun berumur 80 tahun. Tidak realistik bagi Malaysia untuk mencalonkannnya. Lagi pun pencalonan Mahathir berkemungkinan besar tidak akan mendapat sokongan kuasa-kuasa besar dunia. Selepas Dr Mahathir siapakah tokoh dari Malaysia yang disegani di pentas antarabangsa?

Jawapannya tidak lain tidak bukan ialah bekas timbalannya Dato' Seri Anwar Ibrahim.

Berdasarkan ketokohan, keperibadian, karisma, rekod perkhidmatan serta keunggulannya, tidak ada sebab mengapa Dato' Seri Anwar Ibrahim tidak boleh menjadi Setiausaha Agung PBB yang baru.

Jika dipilih Anwar akan menjadi orang Asia yang kedua selepas U Thant dari Burma, orang Melayu dan orang Islam yang memegang jawatan yang amat penting dan disegani di badan dunia itu.

Sebagai Setiausaha Agung PBB, Anwar akan menerajui badan yang dianggotai oleh 191 buah negara merdeka yang mewakili sebahagian besar daripada lebih 6 billion penduduk dunia.

Anwar akan menguruskan organisasi raksaksa yang cukup kompleks dan birokratik yang menuntut biaya mengurus dan pembangunan lebih $2.5 billion setahun dan ditadbirkan oleh ratusan ribu petugas langsung dan tidak langsung bagi mengendalikan ribuan projek berasingan di seluruh ceruk dan pelusuk dunia.

Sebagai teraju Anwar dituntut memberikan arah dan pimpinan, bertindak sebagai penggerak dan pemikir serta sekaligus menjadi jurucakap rasmi PBB. Selaku Setiausaha Agung PBB, beliau akan memastikan piagam pertubuhan itu didukung dan dihormati.

Bagi mencapai hasrat untuk menjadi Setiausaha Agung PBB, Anwar perlulah terlebih dahulu dicalonkan oleh Majlis Keselamatan PBB, sebelum pengundian dilakukan oleh Perhimpunan Agung. Di sinilah terletaknya kekuatan Anwar.

Beliau diketahui rapat dengan kuasa dunia nombor satu iaitu Amerika Syarikat. Sokongan AS terhadap Anwar, seorang tokoh Islam, secara tidak langsung boleh memperbaiki imej AS.

Kedudukan Anwar sebagai tokoh Islam yang berpengaruh dan disegani diperingkat antarabangsa juga memungkin beliau meraih sokongan besar dari dunia Islam. Perlantikan Anwar sebagai Setiausaha Agung PBB yang baru bakal membawa dimensi baru kepada pertubuhan ini.

Sebagai seorang tokoh Islam yang berpengaruh dan disegani di peringkat antarabangsa pandangan Anwar dihormati oleh negara-negara Barat dan dunia Islam. Di tengah-tengah dunia menghadapi krisis peradaban antara Barat dan dunia Islam angkara peristiwa September 11 dan serangan AS ke atas Iraq, Anwar merupakan calon yang paling sesuai untuk meredakan ketegangan ini.

Yang penting sekarang Kerajaan Malaysia harus memberikan sokongannya kepada Anwar.

Lupakanlah hasrat untuk menjaga hati pihak-pihak tertentu di dalam negara yang sememangnya terus bermusuh dengan Anwar sejak tahun 1998 lagi. Lagi pun Order Lama ini telah pun kehilangan pengaruhnya di kalangan rakyat Malaysia sejak Pak Lah memimpin negara.

Perlantikan Anwar juga boleh meredakan beberapa ketidaktentuan di dalam pentas politik nasional.

Faktor Anwar kembali untuk memimpin kembali UMNO dan secara langsung menganggu line of succession di dalam parti mungkin tidak timbul lagi jika beliau dilantik sebagai Setiausaha Agung PBB.

Sebagai Setiausaha Agung PBB beliau akan berada di New York untuk tempoh lima tahun mulai dari 1 Januari 2007. Paling awal beliau boleh kembali ke Malaysia ialah pada 2012, terlalu lambat bagi beliau untuk membuat comeback ke dalam UMNO. Kesibukkan beliau di PBB juga tidak membolehkan beliau untuk menerajui pakatan pembangkan sekaligus memadamkan terus hasrat PAS untuk menggunakan Anwar sebagai ikon untuk menggugat UMNO.

Jelas perlantikkan Anwar lebih banyak membawa kebaikkan kepada Malaysia, dunia Islam, manusia sejagat, kepada penyokong-penyokongnya dan juga kepada musuh-musuhnya di dalam UMNO.
(This article was written in December 2005)