Thursday, May 22, 2008

ada ada dengan Suratkhabar?

Ronin Cyber Jan 5, 05 3:57pm
Nampaknya ‘pesta naik harga’ berterusan lagi. Sebelum Aidilfitri, rakyat dikejutkan dengan kenaikan harga barangan makanan seperti sayuran, cili, bawang, kentang serta kos pengangkutan seperti tambang bas sekolah, kenaikan kadar tol serta harga minyak diesel dan petrol.
Dua hari sebelum tahun 2004 meninggalkan kita untuk selama-lamanya, rakyat sekali lagi dikejutkan dengan kenaikan harga akhbar pula. Seolah-olah seperti berjanji dan berpakat, Kumpulan New Straits Times Press (Malaysia) Berhad (NSTP) and Kumpulan Utusan (M) Berhad, sepakat mengumumkan kenaikan 25 peratus harga akhbar berbahasa Melayu terbitan mereka mulai 1 Januari 2005. Mungkin ini hadiah tahun baru mereka untuk pembaca setia mereka agaknya.
Dan seperti biasa, faktor luaran seperti harga kertas dunia dan kenaikan harga minyak dipersalahkan sebagai dalang utama yang menyebabkan mereka bertindak demikian.
Menurut NSTP, kenaikan harga tidak dapat dielak berikutan peningkatan kos pengeluaran, khususnya harga kertas di pasaran antarabangsa yang semakin tinggi.
Ini berikutan harga kertas meningkat lebih dari US$600 satu tan. Jumlah ini adalah 20 peratus lebih tinggi berbanding pada tahun 2003 dan naik mendadak 40 peratus berbanding pada tahun 2002.
Adalah dijangkakan, menjelang hujung 2005 harga kertas dijangka mencecah US$700 satu tan – jumlah tertinggi dalam sejarah. Kenaikan harga akhbar di Malaysia juga bukan kes terpencil kerana akhbar ternama lain di dunia seperti The Himalayan Times, Bermuda Sun, Lianhe Zaobao serta New Paper, telah menaikkan harga masing-masing di antara 33 peratus dan 100 peratus sepanjang 2004.
Kenyataan NSTP juga menambah, kos pengeluaran lain seperti dakwat, plet logam, filem, sumber berita luar negara, pengangkutan dan gaji pekerja yang semakin meningkat, turut mendorong kenaikan ini.
“Sebagai penerbit, kenaikan semua kos ini ditampung dengan harapan harga kertas akan turun. Malangnya, ini tidak mungkin berlaku dalam masa terdekat. Sebaliknya, dengan kenaikan harga minyak, harga kertas semakin meningkat,” kata NSTP lagi.
Jadi, minyak juga menjadi dalang utama di dalam drama ini.
Tetapi apakah kaitannya harga minyak dengan harga kertas, dakwat, plet logam, filem dan kos pengeluaran akhbar? Berapa banyak tong minyak yang digunakan untuk menghasilkan akhbar dalam sehari?
Kenyataan NSTP itu juga seperti terlupa menyebut bahawa 2002 merupakan tahun di mana harga kertas jatuh menjunam ke paras terendah di dalam sejarah iaitu pada kadar US$450 satu tan. Jadi memang logiklah jika harga kertas naik sebanyak 40 peratus sekarang kerana tidak mungkin harga kertas terus berada di paras terendah buat selama-lamanya. Kalau ia pun harga kertas sekarang mahal, ia tidaklah setinggi US$1,000 satu tan pada 1995 dahulu. Dan pada masa itu, akhbar New Straits Times hanya berharga 60 sen berbanding RM1.20 sekarang.
Dan mengapa pula hanya harga akhbar Melayu sahaja yang naik? Mungkinkah kerana akhbar Melayu menggunakan kertas yang lebih tinggi kualitinya dan lebih tebal muka suratnya berbanding dengan akhbar berbahasa Inggeris?
Satu persoalan lagi, betulkah pemilik-pemilik syarikat suratkhabar ini tidak mampu untuk menampung kos operasi yang sedang meningkat?
The Edge dalam keluaran 27 Disember 2004 misalnya, ada menyebut bahawa untuk suku tahun pertama tahun 2004, angka pertumbuhan hasil iklan untuk akhbar Melayu telah melonjak tinggi ke paras 60 peratus, berbanding dengan pertumbuhan 3 peratus untuk akhbar berbahasa Inggeris.
Ini menyebabkan sesetengah syarikat seperti Kumpulan Utusan terpaksa menolak permintaan iklan untuk mengekalkan nisbah editorial-iklan pada kadar 60:40. Jadi berdasarkan hal ini, agak mustahilah jika hasil iklan yang melonjak ini tidak mampu menampung kos operasi yang bertambah.
Walau apa pun alasan dan sebabnya, realitinya apabila tahun baru menjelang tiba, harga akhbar tetap akan naik juga. Akhbar Berita Harian yang bernilai 60 sen sepuluh tahun lalu, akan berharga 150 sen pada tahun 2005 – kenaikan 150 peratus dalam tempoh sepuluh tahun, atau secara puratanya 15 peratus setahun. Sebagai perbandingan, harga petrol hanya naik 26 peratus dalam tempoh sepuluh tahun lalu – dari RM1.13 seliter kepada RM1.42 seliter hari ini.
Wong Sulong, Ketua Editor Star, dalam tulisannya pada 1 Julai 2003, pernah memberi amaran bahawa harga akhbar mungkin naik setinggi 50 peratus jika Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (Miti) meneruskan hasratnya mengenakan duti anti-longgokan ke atas kertas yang diimport.
Menurut The Edge edisi 13 Julai 2004, Miti berbuat demikian setelah mendapat pengaduan dari Malaysian Newsprint Industries Sdn Bhd (MNI) bahawa Kanada, Indonesia, Filipina, Korea Selatan dan Amerika ‘melambakkan’ kertas akhbar pada harga cukup murah di negara ini, iaitu di bawah paras US$500 satu tan. ‘Lambakan’ ini dikatakan menjadi punca MNI kerugian sejak kilangnya yang bernilai US$480 juta beroperasi lima tahun lalu.
Ini adalah kerana MNI yang menguasai hampir 70 peratus pasaran kertas akhbar tempatan, tidak mampu bersaing dengan kertas import yang harganya jauh lebih rendah di bawah paras ‘break-even’ kilang tersebut iaitu sekitar US$580 satu tan. Lanjutan dari pengaduan dan kajian yang dilakukan oleh Miti, satu keputusan diambil untuk mengenakan duti impot ke atas kertas akhbar import.
Kadar duti ini adalah 8% hingga 43% dan berkuatkuasa untuk tempoh lima tahun bermula mulai September 2003. Akibat dari langkah ini, peluang untuk pengeluar akhbar tempatan membeli kertas pada harga yang murah, mungkin sudah tidak wujud lagi. Maka tidak hairanlah jika kos kertas mereka meningkat tinggi.
Sejauhmanakah langkah Miti ini akan memberi keuntungan dan manfaat kepada pihak-pihak di dunia persuratkhabaran, belumlah dapat dipastikan lagi.
Bagaimanapun, persoalannya mungkinkah kenaikan harga akhbar mulai 1 Januari 2005 ini, ada kena mengena dengan duti import ke atas kertas akhbar import?
Walau apa pun jawapannya, yang jelas kos sara hidup semakin meningkat. Kenaikan peratusan indeks harga pengguna atau CPI untuk bulan November 2004 misalnya, merupakan kenaikan peratusan tertinggi dalam jangka masa lima tahun.
Fenomena ‘pesta naik harga’, melonjaknya CPI, dan pengganguran kira-kira 50,000 graduan bukanlah perkara yang pernah kita hadapi sebelum ini. Harap-harap ini bukanlah petanda awal gelombang ‘stagflation’ yang dialami Amerika pada tahun 70-an dahulu akibat krisis minyak dunia, sudah mula tiba negara kita...