Thursday, July 10, 2008

Ada apa dengan Churchill?

Apakah kesilapan paling besar yang dilakukan Winston Churchill, bekas Perdana Menteri Great Britain, tatkala beliau menjawat jawatan sebagai Setiausaha Negara Tanah-tanah Jajahan British?

Begitu besarnya kesilapan ini menyebabkan bahananya masih ditanggung oleh rakyat Iraq sehingga kini hinggalah menyaksikan negara yang pernah mendapat jolokan “Cradle of Civilisation” ini kembali dijajah oleh kuasa imperialis nombor wahid ketika ini iaitu Amerika Syarikat.

Kisah bermula apabila berakhirnya Perang Dunia Pertama yang menyaksikan kekalahan pihak Jerman di benua Eropah serta kehancuran tanah jajahan Kerajaan Turki Othmaniah di Asia Barat. Kemenangan pakatan Anglo Perancis ke atas kedua-dua pihak ini telah membolehkan British meluaskan kuasanya ke atas negara-negara bekas jajahan Kerajaan Turki Othmaniah di Asia Barat.

Winston Churchill yang pada ketika itu menjawat jawatan sebagai Setiausaha Negera (Menteri) Tanah-tanah Jajahan British telah diberi tugas untuk melakar peta negara-negara Asia Barat pasca Perang Dunia Pertama.

Mengikut perjanjian di asal antara Churchill dan Putera Arab Saudi, Putera Faisal, kawasan jajahan Ottoman di Palestin, Lebanon dan Syria akan diserahkan kepada baginda sekiranya British berjaya menumpaskan garison Ottoman di Asia Barat.

Walau bagaimanapun, atas desakan pelobi-pelobi Yahudi di London, perjanjian ini tidak beliau tepati. Sebagai ganti, Putera Faisal telah ditabalkan sebagai raja di Syria dan kemudiannya pada tahun 1921 ditabalkan sebagai raja Iraq.

Churchill melakukan kesilapan besar kerana telah melakar peta Iraq moden tanpa mengambilkira kepelbagaian demografi yang terdapat di negara tersebut. Di utara negara tersebut dihuni oleh penduduk Kurdish. Di selatannya didiami oleh orang keturunan Syiah. Raja Faisal pula tidak mempunyai sebarang pertalian dengan Iraq. Beliau datang dari keluarga Bani Hashim yang berasal dari Arab Saudi.

Perbezaan kuturunan, ethnik dan keluarga inilah yang menyebabkan Iraq senantiasa tidak stabil hinggalah ke hari ini.

Pada British, Faisal hanyalah merupakam boneka mereka. British memerlukan sokongan beliau untuk memastikan telaga-telaga minyak yang bertaburan di sana berada di tangan yang selamat.

Telaga-telaga minyak ini mempunyai kepentingan strategik kepada British. Ia merupakan sumber tenaga utama kepada tenter laut British, armada laut yang tercanggih dan terkuat di dunia pada masa tersebut.

Akibatnya kerajaan monarki di Iraq tidak kekal lama apabila pada tahun 1958 ia ditumbangkan melalui satu rampasan kuasa tentera.

Penentangan kaum Kurdish yang bermula sejak tahun 1958 juga berterusan hinggalah Sadam Hussein dilantik sebagai Presiden pada tahun 1979. Pemerintahan Saddam juga tidak lama, apabila bala tentera Amerika Syarikat menjajah negaranya pada tahun 2003.

Derita Iraq yang bermula semenjak Perang Dunia Pertama berterusan entah sampai bila.

Memang jelas tindakan Churchill di Iraq merupakan contoh paling jelas tentang betapa tebalnya fahaman dasar pecah dan perintah (divide and rule) di kalangan pembuat dasar British. Dasar ini secara langsung menyumbang kepada ketidak stabilan di setiap negara bekas tanah jajahan British samada di Afrika, Asia Tenggara dan Timur Tengah.

Sehingga hari, negara-negara bekas tanah jajahan British masih bergolak hingga akhir ini akibat peperangan sesama sendiri akibat perbezaan agama, bangsa dan keturunan.

Contohnya konflik antara Israel dan Palestin, Krisis Darfur di Sudan, perang saudara di India hingga mengakibat lahirnya Pakistan dan Bangladesh.