Ada apa dengan Iran?
' � penjajahan, penaklukan, pengeboman, penukaran kerajaan yang sah, pencabulan hak asasi, pembinaan kerajaan boneka, rasuah, kekejaman, sokongan kepada diktator�'
Agak ironis apabila sebuah negara yang sering berdakwah mengenai prinsip demokrasi, kebebasan, kesamarataan, anti-keganasan, dan lain-lain, memilih untuk menyuburkan kesengsaraan dan kesusahan ke atas negara-negara lain yang tidak sekutu dengannya di seluruh dunia.
Jika kurun ke-19 musuh ketat AS adalah Great Britain, kurun ke-20 menyaksikan persaingannya dengan Soviet Union dan kurun ke-21 menyaksikan permusuhannya yang nyata dengan dunia Islam.
Selepas Iraq dicabuli, Syria digertak, Sudan diugut kerana Darfur, kini kita menyaksikan sebuah lagi negara 'paksi kejahatan' iaitu Iran bakal menjadi mangsa kerakusan dasar luar negara AS.
Skrip perang yang bakal digunakan adalah sama. Sebuah negara 'paksi kejahatan' akan dituduh cuba membina senjata nuklear. Negara ini juga dituduh sebagai pembiaya keganasan global. Negara ini juga akan dipaksa untuk membuka fasiliti nuklearnya untuk diperiksa oleh pemeriksa senjata.
Dan apabila tiada senjata pemusnah dijumpai, negara ini akan dituduh menyembunyikan senjata ini di tempat-tempat sulit yang akhirnya menjadi satu alasan yang cukup kukuh untuk menyerang Iran.
Walau apapun, 'sekarang merupakan masa yang cukup sesuai untuk menakluk Iraq'.
Mengapa?
Pertama, bulan November menandakan genapnya 20 tahun penahanan 90 warga Amerika di kedutaan Amerika di Tehran. Tindakan Presiden Jimmy Carter yang berunding untuk membebaskan warga AS ini selepas 444 hari ditahan, dilihat sebagai satu tindakan yang lemah oleh golongan berhaluan kiri neokonservatif yang menguasai dasar pentadbiran luar George W Bush.
Kedua, sekatan perdagangan yang dikenakan ke atas Iran melalui Iran Libya Sanction Act 1996 dilihat tidak berkesan untuk menumbangkan kerajaan Iran apabila negara-negara blok Eropah tidak mengendahkan sekatan ini.
Yang menjadi mangsa adalah syarikat minyak Amerika yang terlepas peluang untuk meraih peluang perniagaan yang cukup lumayan di Iran.
Ketiga ialah kedudukan geografi Iran yang merupakan cukup strategik. Di utaranya terdapat Lautan Caspian yang memiliki sumber telaga-telaga minyak terbesar di luar Arab Saudi. Di selatan Iran pula terdapat telaga minyak Azadegan yang merupakan antara telaga minyak yang terbesar di dunia.
Telaga ini yang memiliki sumber minyak sebanyak 35 bilion tong, 60 kali ganda lebih besar dari stok yang terdapat di tangki simpanan strategik minyak AS.
Di samping itu, sumber gas Iran juga cukup besar iaitu yang kedua terbesar di dunia, cukup untuk memenuhi keperluan gas AS untuk tempoh yang begitu panjang.
Keempat, kegagalan aktiviti bawah tanah seperti demonstrasi dan kudeta untuk menumbangkan kerajaan Iran menguatkan lagi azam AS untuk menggunakan cara kekerasan.
Gelombang tunjuk perasaan pelajar universiti di Tehran Februari lepas, a la demonstrasi jalanan di Indonesia, Georgia and kini Ukraine, telah gagal.
Di samping itu, melancarkan kudeta juga akan mengambil masa yang lama untuk mendapatkan hasilnya. Jika Operasi Ajax pada 1954 berjaya menumbangkan kerajaan Dr Mossadegh dan menaikkan kerajaan boneka pimpinan Shah Iran, cara 'covert' yang sama sekarang belum tentu akan membawa hasil yang memberangsangkan.
Kelima, Iran menguasai Selat Hormuz yang menjadi pintu masuk ke Telok Parsi. Kedaulatan Iran ke atas selat ini menjadi penghalang cita-cita AS untuk menguasai Selat Parsi.
Keenam, kitab golongan neokonservatif yang bertajuk A Clean Break: A New Strategy for Securing the Realm karangan Richard Perle, Penasihat di Pentagon, pada tahun 1996 lalu, menekankan betapa pentingnya penukaran rejim dilakukan di Iraq, Iran dan Syria untuk memastikan keselamatan rejim Yahudi. Saddam telahpun tumbang dan kini giliran Iran pula.
Dan terakhir ialah faktor sejarah. Sesiapa yang menguasai Iran, biasanya akan menguasai dunia. Alexander the Great pernah menakluki Iran dan beliau menguasi dunia. Kerajaan Roman juga pernah menundukkan kerajaan Parsi lalu mereka menjadi kuasa terkuat duinia di zamannnya.
Di awal ke-20, Winston Churchill, melalui Anglo British Petroleum, menguasai Iran, dan melalui sumber minyak Iran, barisan tentara laut British merupakan kuasa laut yang terkuat di dunia.
Hari ini, bibit-bibit peperangan semakin jelas. 'Helang-helang' di Rumah Putih sudahpun mengisytiharkan peperangan ke atas Kofi Annan, Setiausaha-Agung Bangsa-Bangsa Bersatu atas dakwaan ketidakcekapan dalam menangani program minyak untuk makanan Iraq di zaman kerajaan Saddam dahulu.
Walaupun pada hakikatnya syarikat-syarikat minyak berpangkalan di AS yang merupakan penyumbang paling besar dalam kempen pilihanraya Bush mengaut keuntungan paling besar dalam program minyak untuk makanan Iraq ini.
Annan, selain dari blok Kesatuan Eropah, menjadi batu penghalang paling besar ketika Bush melancarkan perang ke atas Saddam dua tahun lepas. Dengan tumbangnya Annan, impian AS untuk menguasai Asia Barat lebih mudah untuk menjadi kenyataan.
Namun yang kurang jelas sekarang, apakah serangan akan dilakukan sendiri oleh AS ataupun melalui sekutu rapatnya iaitu rejim Yahudi.
Jika pada tahun 1981, jet-jet F15 and F16 milik rejim Yahudi mengebom rektor nuklear Iraq di Tuwaitha melalui Operasi Sphinx, persoalannya mungkinkah pada hari ini akan adanya Brutus Ebin Halim versi Iran?
Brutus adalah saintis Iraq yang akhirnya mengkhianati negara sendiri dengan membekalkan peta lokasi loji nuklear Ossirak di Tuwaitah selepas termakan umpan berbentuk wang dan seks yang dipancing oleh agen-agen Mossad di Paris hampir dua dekad yang lalu